Empat individu termasuk jurulatih renang diberkas edar dadah syabu

Iklan
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang dipercayai pengedar dadah dan merampas 287 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta dalam empat serbuan berasingan di Selangor, Johor pada Jumaat dan Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Johor dan JSJN Selangor.

Iklan
Iklan

"Modus operandi sindiket yang disyaki aktif sejak Januari lalu adalah menyeludup masuk dadah dari negara jiran di utara Semenanjung dengan menggunakan jalan laut.

"Bekalan dadah itu kemudian akan transit di Lembah Klang, sebelum diseludup keluar ke Indonesia juga melalui jalan laut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin.

Iklan
Datuk Ayob Khan (tengah) menunjukkan dadah syabu yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman pada Isnin.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket seperti kenderaan dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM173,000.

"Tindakan itu diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod Jenayah.

"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ayob berkata, pihaknya masih mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Kita berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.