Kes video tular TikTok ASP wanita, JSJN tunggu laporan JIPS

Iklan
Tangkap layar tular sebuah video durasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) masih menunggu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, sebelum tindakan susulan diambil terhadap seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok, semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut mengesahkan pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan itu bertugas di JSJN Bukit Aman.

Iklan
Iklan

"Arahan berhubung penggunaan media sosial peribadi telah dikeluarkan pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

"Tindakan sewajarnya akan diambil, namun kita masih menunggu laporan JIPS. Kita tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang terlibat dalam kes salah laku," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Pada Isnin, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain telah mengarahkan JIPS menyiasat video tular berkaitan seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok, semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.

Razarudin berkata, pihaknya sedang meneliti bila dan di mana rakaman video secara langsung itu dibuat.

Iklan

"Saya sudah mengarahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat video secara langsung semasa operasi itu.

"Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya," katanya.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan oleh JIPS.

Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Pada pertengahan video dia menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut selain turut mengharapkan akaunnya TikTok miliknya diikuti oleh lebih 100,000 pengikut lain.

Tindakannya membuat video secara langsung itu didapati mengundang kecaman masyarakat yang didakwa mengambil peluang ketika operasi dalam mempromosikan akaun TikTok miliknya.