GEORGETOWN - Masalah runtuhan cerun di Lorong Bukit Kukus, Paya Terubong berhampiran Rumah Pangsa Grandview Heights dan Rumah Pangsa Bukit Saujana bakal berakhir apabila kerja membaik pulih akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) demi keselamatan lebih 400 unit rumah dengan lebih 2,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek yang menelan belanja hampir RM8 juta termasuk kos bayaran yuran perunding dan kos imbuhan balik itu akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap pada suku pertama 2024.
"Sejak 2021, kita membuat kerja mitigasi sementara dengan memasang jaring dengan kos RM80,000 untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Kerja ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.
"Peruntukan sudah diluluskan dan projek ini akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini selama 18 bulan.
"Ia melibatkan kerja-kerja pembaikan cerun antaranya pemasangan rockfall bolting, soil nailing, pemasangan flexible rockfall barriers, rockfall netting, drainage dan road resurfing," katanya kepada media di lokasi runtuhan cerun di sini pada Isnin.
Zairil berkata, sebelum ini tiga kejadian runtuhan direkodkan berlaku iaitu pada 2017, 2018 dan terbaharu pada 2020, namun tidak melibatkan nyawa atau kerosakan harta benda, malah tidak terkena pada kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di situ.
Menurutnya, kawasan kajian untuk kerja baik pulih adalah seluas 4.16 hektar manakala keluasan kawasan yang akan dibaiki adalah 3.35 hektar.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau cerun dari semasa ke semasa selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik tanah yang menjalankan kerja tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa.
"Kita mendapati pemilik tanah ini menjalankan kerja-kerja pertanian khususnya di Bukit Bendera dan Balik Pulau tanpa kelulusan.
"Oleh itu, kita menggesa pekebun-pekebun ini yang telah menjalankan aktiviti pertanian sejak turun temurun, supaya menghubungi PBT sebelum Jun ini untuk mendaftarkan aktiviti mereka itu. Sekiranya gagal, mereka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Beliau menambah, dengan arahan tersebut, MBPP dapat memantau aktiviti pekebun berkenaan bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan.