SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk gabungan baharu dikenali sebagai PH 2.0 jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu mendakwa, PH dan PN terdahulu akan membahagikan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam PRU15.
"Andaikan mereka menang kerusi yang dibahagikan itu. Ini juga bermaksud mereka perlu berpakat atau bergabung selepas PRU15 untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini dilapor bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15 akan datang.
Tanpa menamakan mana-mana parti, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula 'menang-menang' antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, persefahaman antara parti politik itu penting bagi mengelak perpecahan undi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.