KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima empat laporan membabitkan kerugian RM69,000 berkaitan penipuan skim pelaburan sebuah syarikat.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, pada peringkat awal, pelabur akan menerima keuntungan yang dijanjikan, namun setelah membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar, pihak syarikat akan memutuskan hubungan dengan pelabur.
"Melalui siasatan, pelabur yang berminat diarahkan untuk memindahkan wang kepada pihak syarikat melalui akaun yang diberikan.
"Akaun tersebut bagaimanapun dimiliki oleh individu persendirian yang dipercayai keldai akaun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kamarudin berkata, syarikat berkenaan juga disyaki menawarkan pekerjaan untuk memproses pesanan melalui platform aplikasi dengan upah lumayan sekitar RM300 ke RM500 sehari.
"Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berminat dengan tawaran bekerja secara sambilan adalah diingatkan untuk sentiasa berhati-hati.
"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk membuat semakan yang terperinci dengan syarikat, agensi yang berkaitan sebelum memohon atau menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan," katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu berwaspada sekiranya diminta untuk membuat pindahan wang (terutama kepada akaun bank milik individu persendirian), ia adalah petanda bahawa anda mungkin menjadi mangsa penipuan.
"Kita percaya wujud kemungkinan untuk penjenayah menyamar sebagai entiti perniagaan yang sah dalam usaha untuk memperdayakan mangsa.
"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.