BENCANA pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor telah mencatat detik-detik hitam dalam lembaran pengurusan alam sekitar di negara kita. Ini bukanlah insiden kali pertama yang seumpamanya berlaku sejak Malaysia mengubah sektor asas ekonominya daripada negara berasaskan pertanian kepada perindustrian pada tahun 1984.
Negara amat pesat membangun dengan pelbagai inisiatif ditawarkan kepada para pemain industri dan telah menarik berbilion ringgit pelaburan ke dalam negara. Negara mengaut keuntungan besar hasil pelaburan ini namun kelestarian alam sekitar telah merosot hasil pencemaran industri.
Bencana Sungai Kim Kim menjadi"wake-up call” kepada semua pihak yang terlibat untuk mula bertindak secara serius dan efektif agar insiden sama tidak berulang. Sejak insiden ini berlaku, kerajaan telah bertindak proaktif dengan mewujudkan pusat gerakan bencana untuk mengkoordinasi gerak kerja pengurusan bencana. Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia Malaysia, Unit HAZMAT telah dikerah dalam mengenalpasti bahan pencemar dan membuat pemantauan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang.
Tidak ketinggalan, Angkatan Tentera Malaysia juga turut menggerakkan dua kumpulan iaitu Kumpulan Tinjau Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN) dan Kumpulan Nyah Cemar bagi membantu usaha pembersihan kawasan yang tercemar. Namun, apabila laporan perubatan yang didedahkan oleh Pakar Psikologi Klinikal Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Dr Azlina Roszy, yang mendapati 90 peratus pesakit pencemaran toksik dikenal pasti menghidap"hyperventilation syndrome” akibat keresahan melampau dan mereka pulang tanpa perubatan.
Ini berpunca daripada berita-berita palsu yang tersebar di media sosial serta"overreported” oleh pihak media yang menambahkan lagi kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk. Hal ini memberikan satu signal yang jelas bagi kita untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Bencana. Aspek penting yang lain yang perlu diambil kira ialah dari segi mengkoordinasi sumber-sumber berita yang dilaporkan oleh pihak berkuasa.
Kita telah melihat pelbagai kenyataan yang telah dikeluarkan oleh agensi-agensi yang terlibat dan kadang kala terdapat percanggahan. Pengumuman mengenai bahan-bahan pencemar yang dikesan perlulah dilakukan dengan teliti. Ketika bencana, penggunaan alat pengesan gas beracun boleh digunakan di lapangan dan perlu juga disahkan melalui keputusan analisis makmal supaya laporan yang ingin diumumkan kepada rakyat diyakini kredibilitinya.
Hakikatnya, negara kita masih belum ada SOP yang lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia, biologi dan radiologi. Maka, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) harus bangkit dan mula menggubal SOP bagi menghadapi bencana pencemaran kimia seperti ini. NADMA perlu menubuhkan majlis penasihat bagi menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia, biologi dan radiologi.
Dengan mengambil konsep serupa seperti diamalkan di Amerika Syarikat, majlis ini akan menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang komprehensif meliputi aspek pengenalpastian bahan pencemar, persampelan dan ujian makmal, pemantauan kualiti alam sekitar yang berterusan, pengawasan perubatan (medical surveillance) kepada mangsa yang terdedah kepada pencemaran melalui pengawasan biologikal (biological monitoring), penyahcemaran, pembersihan serta pengurusan sisa bahan pencemar.
Buat masa ini, kita lebih tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu. Anggaplah bencana Sungai Kim Kim ini sebagai percubaan dalam mengkoordinasi latih amal pengurusan bencana akibat pencemaran kimia. Saya juga kagum dengan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang berusaha keras dalam menangani bencana ini.
Pengumuman tegas oleh YB Menteri untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 disambut baik oleh semua. Sumbangsaran oleh pemegang taruh dan pakar akademik amat ditagih dalam menggubal akta baharu ini agar ia menjadi senjata dan perisai yang kuat untuk membela nasib alam sekitar kita. Harus diingat, undang-undang sahaja tidak mampu untuk mencegah daripada insiden ini berulang.
Jabatan Alam Sekitar harus mensiap-siagakan para pegawainya untuk membuat pemantauan yang kerap serta bertindak terhadap laporan-laporan pencemaran serta melakukan pemeriksaan susulan. Semoga bencana ini menjadi iktibar untuk kita semua.
* Penulis ialah Ahli Kimia Kesihatan Persekitaran dan Alam Sekitar di ALS Technichem (M) Sdn Bhd