Pengorbanan Liek Hou berbaloi

Iklan
Liek Hou mempertahankan gelaran juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022.

DI sebalik kontroversi yang melanda, Cheah Liek Hou tetap membuktikan kehebatannya di tengah gelanggang apabila menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022 di Sao Paulo pada Ahad.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu berjaya merangkul kejuaraan sama buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan pemain Perancis, Meril Loquette 21-17, 21-17 di pentas final.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu juga menyaksikan Liek Hou melebarkan rekod kemenangan kali keenam berturut-turut ke atas Loquette dalam acara perseorangan lelaki.

"Walaupun berjaya meraih kemenangan pada kejohanan ini, saya masih belum berpuas hati dengan persembahan selepas tidak beraksi selama tujuh bulan.

Iklan

"Persembahan saya juga tidak berapa konsisten. Namun, saya bertekad untuk memperbaiki kekurangan itu nanti apabila pulang ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi pautan video dikongsikan kepada media pada Isnin.

Pemergian Liek Hou bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek ke Sao Paulo minggu lalu mencetuskan kontroversi apabila dia meluahkan kekecewaan kerana terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri.

Iklan

Ia berikutan kejohanan tersebut tidak berada dalam perancangan Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus menyebabkan Liek Hou perlu menanggung perbelanjaan sendiri sepanjang berada di Sao Paulo.

Bagaimanapun, Liek Hou kini mampu menghela nafas lega apabila MSN bersetuju untuk membayar semula perbelanjaan ditanggungnya bagi menyertai kejohanan tersebut.

"Pada mulanya, ada penaja yang mahu menaja tetapi mereka tarik diri saat akhir. MSN memaklumkan mereka akan bantu dan apabila pulang, saya boleh tuntut perbelanjaan yang sudah dikeluarkan,” jelasnya.

Untuk rekod, Liek Hou yang kini menduduki ranking kedua dunia berjaya melebarkan kemenangan dalam 41 perlawanan berturut-turut.