Pemilik boleh dipenjara jika biar haiwan peliharaan mati kebulur

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SEOUL - Pemilik haiwan peliharaan di Korea Selatan bakal berdepan hukuman penjara jika menyebabkan haiwan di bawah jagaan mereka mati kebuluran, bermula tahun depan, menurut Kementerian Pertanian pada Isnin.

Kerajaan berusaha mencegah kes penderaan haiwan dan memberi perlindungan lebih baik selari dengan pertambahan jumlah pemilik haiwan.

Iklan
Iklan

Di bawah semakan Akta Perlindungan Haiwan, pemilik berdepan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum 30 juta won (AS$24,000) jika didapati bertanggungjawab terhadap kematian haiwan peliharaan mereka, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat pada Selasa, meskipun peraturan itu hanya berkuat kuasa pada 27 April 2023, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.

Iklan

Kecuaian seperti itu setakat ini tidak dikenakan hukuman kerana tidak dikategorikan sebagai kes penderaan haiwan.

Mulai April 2024, individu yang ingin memelihara lima baka anjing 'berbahaya' mesti mendapat kelulusan negeri, susulan peningkatan jumlah serangan disebabkan anjing peliharaan, menurut kementerian itu.

Iklan

Lima baka anjing itu ialah tosa, rottweiler, American pit bull terrier, American Staffordshire terrier dan Staffordshire bull terrier.

Pada tahun lepas, kerajaan mewajibkan pemilik anjing baka tersebut mengambil insurans untuk sebarang kemungkinan yang boleh mendatangkan kecederaan dan kerosakan kepada orang lain disebabkan haiwan peliharaan mereka.

KF Financial Group memaklumkan sebanyak 6.04 juta isi rumah -- 29.7 peratus penduduk Korea Selatan -- memelihara haiwan peliharaan, kebanyakannya anjing, setakat akhir 2020. - Bernama