IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan RM45 juta bagi membina Pusat Belia Perak di Ipoh.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tapak bagi pembinaan Pusat Belia tersebut sudah dikenal pasti di dalam daerah Kinta yang kini memerlukan kelulusan kerajaan negeri.
Jelas beliau, pihaknya sedang berurusan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah tersebut agar pembinaannya dapat disegerakan.
"Tentunya rakyat negeri Perak akan berasa gembira dengan kewujudan Pusat Belia ini. Para belia di negeri Perak ini tentunya akan dapat peluang menggunakan kemudahan yang ada dengan sebaik-baiknya apabila ia dapat disiapkan dalam masa terdekat.
"Saya amat berharap kerajaan negeri Perak akan segera memberi bantuan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kami untuk kita segerakan pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Pusat Latihan PGA, Ulu Kinta, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Pusat Belia itu merupakan pusat aktiviti untuk golongan belia yang mempunyai pelbagai fasiliti untuk golongan muda berkumpul dan menggunakan kemudahan di bangunan yang akan disediakan nanti.
Ahmad Faizal berkata, jika pembinaannya direalisasikan kelak, ia menjadi Pusat Belia ketiga selepas Johor dan Pulau Pinang.
Jelasnya, Pusat Belia di Pulau Pinang masih belum memulakan sebarang kerja-kerja pembinaan tetapi telah pun diluluskan sebelum ini.