Tol percuma, potongan harga ringan beban orang ramai

Iklan

Pengumuman pemberian tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus kepada pengguna lebih raya utama negara bermula jam 12 tengah malam pada Sabtu hingga 11.59 malam Ahad ini sedikit sebanyak meringankan beban kepada orang ramai untuk pulang beraya pada tahun ini.

Mana tidaknya, orang ramai terpaksa memperuntukkan jumlah yang banyak bagi persiapan hari raya termasuk membeli pakaian, servis kereta dan penyediaan duit raya.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu disifatkan sebagai khabar gembira buat mereka selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya dan terpaksa beraya di ibu kota akibat larangan rentas sempadan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan cara pemberian tol percuma dan potongan harga ini juga secara tidak langsung kerajaan membantu mengurangkan beban kos rakyat yang kini sedang beralih ke fasa peralihan endemik.

Iklan

Bagaimanapun, di sebalik pengumuman ini juga, timbul tanda tanya adakah orang ramai akan memilih hari tersebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sekiranya memilih tarikh itu, maka mereka terpaksa menghadap kesesakan teruk di lebuh raya dan ada kebarangkalian akan tiba di kampung halaman keesokan harinya kerana masing-masing berebut untuk tidak melepaskan peluang pemberian potongan harga dan tol percuma itu.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan mengumumkan pemberian tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu hingga 11.59 malam Ahad ini.

Katanya, persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta yang akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

"Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT)," katanya.