TUMPAT - Mendengar nama gelembung buaya, pastinya masyarakat akan membayangkan sifat ganas pada reptilia tersebut yang cukup popular di Bumi Kenyalang.
Namun sebaliknya di Kelantan, gelembung buaya merujuk kepada sejenis kuih tradisi yang lembut, lemak manis serta menjadi kudapan popular.
Berwarna hijau dan jingga serta diperbuat daripada campuran kelapa muda, tepung pulut, daun pandan, gula dan garam, gelembung buaya semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Rasanya yang lemak manis serta teksturnya lembut dan mudah ditelan meletakkan makanan ini antara yang 'wajib' dijamah setiap kali berkunjung ke negeri Che Siti Wan Kembang sebaris dengan jala emas, akok, serta tahi itik.
Pengurus Suzara Serunding, Nor Fatin Nabila Sukri, 29, berkata, kuih gelembung buaya mengambil masa selama enam jam untuk dimasak.
"Untuk makluman, setiap lapisan gelembung buaya perlu disiapkan satu per satu mengikut warna sebelum kedua-duanya digabungkan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, permintaan terhadap gelembung buaya akan meningkat setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Katanya, sejak awal Ramadan lalu dia menerima tempahan untuk kuih tradisi Kelantan itu sebanyak 1,000 kilogram (kg) untuk dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri.
Nor Fatin Nabila berkata, bagaimanapun tempahan itu terpaksa ditutup bagi mengelakkan pihaknya berdepan masalah dari segi proses penghantaran.
"Kuih ini dikenali sebagai gelembung buaya kerana teksturnya mempunyai garisan seakan-akan kulit reptilia tersebut.
"Bukan itu sahaja, semasa proses memasak, kuih tersebut mengeluarkan buih seakan-akan buaya yang sedang bernafas di dalam air," katanya.
Beliau berkata, menariknya tentang gelembung buaya ia bukan lagi makanan orang-orang tua sebagaimana sebelum ini.
Katanya, makanan itu sudah diminati oleh generasi muda dan golongan kanak-kanak.
"Selari dengan peredaran masa saya menjual makanan ini secara dalam talian dan menggunakan platform Shopee. Bagi berat 250 gram, saya jual dengan harga RM3.
"Selain gelembung buaya, saya turut menjual serunding dan dodol," katanya.