DI KAWASAN taman perumahan Merak Jalanan memang ramai anak Sabah. Rata-ratanya berhijrah ke semenanjung demi mencari rezeki.
Baru-baru ini, ketika kami bergotong-royong masak makanan berbuka di surau, masing-masing meluahkan rasa tidak sabar untuk pulang ke kampung.
"Saya sudah hampir tiga tahun tak dapat balik disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Ketika mak saya sakit, kami hanya bersembang melalui panggilan video saja. Jadi, raya tahun ini, apa jadi sekalipun memang kena jejakkan kaki ke Sabah," demikian kata salah seorang daripada mereka.
Merak Jalanan pun bertanya kos penerbangan beliau bersama lima ahli keluarganya ke Kota Kinabalu.
Dengan nada perlahan tuan punya badan berkata:"Hampir RM9,000. Saya bertolak pada Ahad ini dan bercuti selama seminggu. Saya tak keluarkan wang KWSP ya, pakai duit simpanan saya."
Seorang lagi teman kami menyahut dan lalu berkata, beliau hanya akan balik ke Tawau pada hari kedua lebaran.
Pada tarikh itu, tiket dua hala lebih murah sedikit. Namun, bagi Merak Jalanan, boleh tahan mahallah sebab guru sekolah itu perlu membayar sekitar RM5,000 untuk empat tempat duduk.
Tanya Merak Jalanan, kenapa beli tiket terlalu awal? Mungkin pada saat-saat akhir, syarikat penerbangan dan pihak-pihak tertentu akan mengusulkan tambang lebih murah seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.
Sambil menghentikan tugasnya menghiris bawang, cikgu tadi berkata:"Daripada kami terlepas momen indah menyambut Aidilfitri bersama keluarga sejak bertahun lamanya, tak mengapalah kalau kami kena bayar lebih.
"Wang boleh dicari bila-bila, hubungan keluarga lebih penting. Kita juga kena percaya bahawa silaturahim boleh menjemput rezeki."
Merak Jalanan terdiam. Kata-katanya itu memang memberi makna yang mendalam.