Terharu masih ada yang prihatin

Iklan
Simbolik penyerahan peruntukan sumbangan zakat Jelajah Simpan SSPN 2022 di Negeri Kelantan berjumlah RM140,000 oleh Wan Saiful (tengah) kepada Zain (dua dari kiri).

KOTA BHARU - Kekangan kewangan menyebabkan hasrat untuk memiliki buku rujukan Kimia bagi melengkapkan pembelajaran dan persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa dipendam.

Namun, Siti Zulaika Abdullah, 17, tidak menyangka hasratnya itu menjadi kenyataan apabila dia antara calon SPM di negeri ini yang menerima sumbangan zakat Jelajah Simpan SSPN 2022 bernilai RM100 oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Iklan
Iklan

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin itu terharu dipilih sebagai penerima dan akan menggunakan wang itu untuk membeli buku rujukan berkenaan.

"Saya belajar dalam aliran Sains Biologi dan menyasarkan 9A pada SPM 2023. Saya agak lemah dalam mata pelajaran Kimia dan memerlukan buku ini.

Iklan

"Ibu saya tidak bekerja, kami bergantung kepada pendapatan bapa sebagai pesara askar yang kini menjadi pengawal keselamatan kira-kira RM1,000 sebulan.

"Dua adik masih bersekolah berusia 16 dan 13 tahun dan memerlukan banyak perbelanjaan,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Simpan SSPN 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Iklan

Turut menerima sumbangan ialah pasangan kembar seiras, Nor Adilah dan Nor Aqilah Mohd Ramli yang kedua-duanya berusia 12 tahun.

Ibu mereka, Rosmawati Mohd Ghazi, 41, berkata, anak-anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim itu belum memiliki baju sukan yang baharu.

"Mereka ulang pakai baju sukan tahun lepas kerana saya tidak cukup wang untuk membeli tahun ini.

"Duit sumbangan ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka yang belum cukup dan sebahagian daripadanya akan disimpan untuk kegunaan pendidikan mereka pada masa depan,” katanya.

Bantu pelajar asnaf

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sumbangan RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime disalurkan kepada 3,000 pelajar asnaf di seluruh negara dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM300,000.

"Di Kelantan, program ini mendapat kerjasama JPN Kelantan melibatkan 1,400 pelajar asnaf dari 14 Parlimen dengan peruntukan berjumlah RM140,000.

"Saya mengalu-alukan orang ramai atau pihak persendirian sama-sama memberi sumbangan kepada anak-anak asnaf dalam bentuk akaun Simpan SSPN bagi menjamin pendidikan golongan itu pada masa depan,” katanya yang hadir bagi menyerahkan sumbangan kepada penerima.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Zain Halim.

Sementara itu katanya, sempena Ramadan ini, PTPTN turut melaksanakan Program PTPTN Prihatin: Ramadan dan Syawal Bersama PTPTN Tahun 2022 seperti Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Bersama Pelajar IPT/ Politeknik Tahun 2022, Program Raikan Syawal Bersama Anak-anak Yatim, Program Sempurnakan Raya Special PTPTN x Mingguan Wanita, Program Ihya Ramadan PTPTN 2022 dan Bantuan Kewangan Pengajian Kepada Anak Yatim (ASNAF) Yang Kehilangan Ibu Bapa Akibat Covid-19.

"Pelbagai kempen dan promosi akan terus dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan termasuk mengadakan Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN.

"Hadiah yang ditawarkan juga menarik dan lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1 juta menanti 350 pemenang menerusi tempoh promosi bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

"Jadi, saya menyeru kepada ibu bapa di luar sana untuk sama-sama mendapat manfaat Simpan SSPN dengan membuka akaun di www.lovesspn.com atau melalui aplikasi mudah alih myPTPTN” ujarnya.