PDRM, Thailand perkukuh kawalan sempadan

Iklan
Hazani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin sebagai penghargaan kepada media Kelantan atas liputan yang diberikan kepada penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Wawasan Kelantan.

RANTAU PANJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha mengukuhkan lagi pengawasan sempadan antara kedua-dua negara bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kerjasama itu melibatkan pertukaran maklumat membabitkan aktiviti jenayah dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Iklan
Iklan

"Jika ada maklumat, mereka (Thailand) akan salurkan terus kepada kita. Selain itu rondaan bersama turut dilakukan bagi memperkasakan lagi kawalan sempadan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini.

Pada majlis sama, Hazani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pengamal media di negeri ini atas liputan yang diberikan berkaitan penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Wawasan Kelantan.

Iklan

Menurutnya, selepas Hari Raya Aidilfitri PDRM akan bertemu pihak berkuasa Thailand bagi membincangkan mengenai penugasan dan kawalan sempadan yang secara tidak langsung mampu membantu mengekang aktiviti jenayah di sempadan.

Hazani berkata, PDRM turut memastikan kawasan sempadan sepanjang musim perayaan terus diperketatkan.

Iklan

"Segala teknologi yang ada termasuk dron akan digunakan bagi memastikan keselamatan sempadan berada pada tahap terbaik.

"Selain itu, aspek pengumpulan maklumat mengenai sempadan akan terus dimantapkan bagi membantu penugasan sekali gus mencegah aktiviti jenayah berkenaan," katanya.