Penjual ayam mengaku tidak salah guna wang palsu RM100

Iklan
Rohamad (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas pertuduhan menggunakan wang palsu.

KUANTAN - Seorang penjual ayam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas pertuduhan menggunakan wang palsu pada Isnin minggu lalu.

Tertuduh, Rohamad Mohamad Saaid, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan wang palsu sebagai tulen iaitu tujuh keping wang RM100 yang palsu untuk deposit wang ke akaun milik Hamidah Ismail.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional Indera Mahkota di sini, pada jam 12.15 tengah hari, 18 April lalu.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan menyara isteri dan seorang anak.

Katanya, pendapatan diperoleh sekitar RM300 sehari dengan penjualan ayam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 26 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.