JOHOR BAHRU - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) akan melancarkan bagang penangkapan bilis terapung biokomposit di Kota Belud, Sabah pada Mei depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, projek Malaysia Social Innovation yang dijalankan hasil kerjasama Nuklear Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia itu akan memberi peluang pendapatan baharu kepada 100 Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Ini adalah projek pemula kepada pembangunan struktur terapung lestari di kawasan tersebut untuk dimajukan kepada penternakan akuakultur marin dan sektor pelancongan akua atau aquatourism.
"Limpahan daripada pembangunan ini akan membuka manfaat kepada kebanyakan rakyat di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pembangunan model ekonomi seumpama itu juga boleh dilaksanakan di Semenanjung Malaysia terutamanya di Johor.
Sementara itu, Adham berkata, Nuklear Malaysia juga akan menghasilkan radio isotop Samarium 153 bersama kit EDTMP untuk rawatan paliatif pesakit kanser.
Menurutnya, produk penyelidikan dan pembangunan itu dapat membantu melegakan kesakitan tulang bagi pesakit kanser tahap kronik dan antara kelebihannya adalah dapat memberi penambahbaikan ketara skor kesakitan kepada pesakit.
"Samarium ini akan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan analgesik narkotik dan yang pastinya, Samarium 153 selamat digunakan,” katanya.
Tambah beliau, Nuklear Malaysia yang juga agensi di bawah MOSTI, memainkan peranan besar dan memberi dimensi baharu kepada landskap perubatan negara, sekali gus menjimatkan kos yang mana ubat diperlukan tidak perlu lagi diimport dari luar negara.
Katanya, selain sektor perubatan, Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan produk biokomposit untuk kegunaan pelbagai sektor, antaranya struktur bangunan, perabot sekolah, struktur terapung pelbagai guna seperti sangkar ikan untuk akuakultur dan biokomposit sebagai sokongan tanaman untuk penanaman lada di Sabah. - Bernama