Kerajaan rancang 15 inisiatif untuk industri OGSE

Iklan
Mustapa.- Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) merancang memulakan 15 inisiatif tahun ini di bawah Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Kebangsaan 2021-2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 15 inisiatif itu bertujuan mengukuhkan dan mengembangkan industri OGSE akan terus menangani isu sistemik yang dihadapi sektor itu khususnya dalam bidang teknologi, bakat dan pembiayaan.

Iklan
Iklan

"EPU dan MPRC akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi, Petronas, pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk merealisasikan visi dan matlamat yang ditetapkan dalam pelan hala tuju OGSE," katanya pada mesyuarat jawatankuasa pemandu kedua bagi pelan hala tuju itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, menteri itu juga disebut sebagai berkata, bagi melengkapkan usaha di bawah pelan hala tuju itu, kerajaan melalui MPRC juga akan memperkenalkan pelan kemampanan untuk sektor OGSE akhir tahun ini.

Iklan

"Ia akan bertindak sebagai garis panduan kepada peserta industri, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menerapkan pelaporan kemampanan dan mengguna pakai amalan perniagaan mampan sementara kerajaan turut melihat peluang untuk memperkenalkan teknologi atau penyelesaian karbon rendah kepada sektor terbabit," kata Mustapa.

Beliau seterusnya menambah sejumlah RM7 juta telah diluluskan di bawah Geran Pembangunan OGSE, satu lagi usaha bersama EPU dan MPRC untuk menyokong pertumbuhan berterusan sektor itu, kepada 31 syarikat OGSE sejak ia dilancarkan pada April 2021.

Iklan

Menurutnya adalah penting bagi kedua-dua pelan hala tuju serta usaha pelengkap oleh kerajaan dan MPRC terus mendapat daya tarikan dalam kalangan peserta industri.

"Justeru, MPRC akan mengadakan jerayawara (roadshows) di seluruh Malaysia, bermula dengan Terengganu, Sabah, dan Sarawak dalam beberapa bulan akan datang untuk mendekati peserta industri dan pihak berkepentingan di negeri-negeri ini,” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar berkata usaha-usaha ini sedang dilakukan untuk menyokong dan membangunkan lagi sektor yang telah lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, industri OGSE sedang mengalami cabaran besar walaupun harga minyak telah pulih dan ekonomi sedang bergerak daripada mod pandemik kepada fasa endemik.

"MPRC, sebagai agensi pelaksana dan sekretariat pelan hala tuju akan meningkatkan usaha kami ke arah penglibatan dengan pihak berkepentingan dan peserta industri, untuk memastikan cabaran yang dihadapi diiktiraf dan ditangani,” ujarnya. - Bernama