[VIDEO] 'Jika sudah insaf boleh kembali bergabung dengan PH' - Mahfuz

Iklan
Datuk Mahfuz Omar

ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berpandangan mereka yang pernah mengkhianati Pakatan Harapan (PH) boleh kembali untuk menyertai kerjasama 'khemah besar' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas menyesal dengan tindakan yang dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, semua pihak mahupun parti yang berada di posisi pembangkang perlu bersatu melawan musuh yang sama dan bukannya gagal mencapai kata sepakat seperti yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Iklan
Iklan

"Saya begini, dulu kita boleh terima orang yang mengkhianati (atau) bertentangan dengan prinsip perjuangan kita.

"Dalam Islam juga, konsep dia mudah kalau orang itu insaf, dia sedar dan kembali (bekerjasama dengan PH) tiada masalah bagi saya," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada petang Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, semua parti yang mempunyai matlamat sama pada PRU15 perlu mencapai kesatuan untuk berada di dalam 'khemah besar'.

Menurutnya, jika kerjasama dapat dilakukan maka semua pihak mencapai ketetapan keenam Deklarasi Port Dickson berhubung agenda reformasi yang mahu digerakkan oleh pakatan tersebut.

Iklan

"Bagi saya kita nak memperkukuhkan khemah ini, nak dipancang dengan ikatan yang kuat supaya tidak dipukul angin ribut, iaitu empat parti yang sedia ada.

"Kemudian kita bersedia untuk menerima sesiapa sahaja nak melangkah masuk untuk berada di dalam khemah ini. Kami sentiasa terbuka, ini prinsip Pakatan Harapan.

"Sebab itu kita tidak tolak di Johor apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) nak bertanding. Amanah dan DAP memberikan kerusi kepada mereka. Ini menunjukkan langkah permulaan. MUDA pun dilihat macam sebelah kaki sudah bersama sebahagian dari Pakatan Harapan," ujarnya.

Pada Isnin, media melaporkan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyatakan bahawa kerjasama antara PH dengan mana-mana parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRU15 belum dimuktamadkan.

Menurutnya, sebarang perbincangan dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang diteliti oleh pucuk pimpinan PH.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, perbincangan dengan parti lain termasuk Bersatu tidak boleh dihalang kerana ia sebahagian daripada polisi dalam PH.