KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melancarkan sesi rundingan awam dalam talian pada Isnin bagi mendapatkan pendapat dan maklum balas orang ramai dan pihak berkepentingan berkaitan cadangan pindaan Akta Persaingan 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail dalam kenyataan pada Selasa berkata, proses pindaan itu bermula sejak 2019 namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
"Kami berharap pindaan ini akan mengukuhkan mandat MyCC dalam melindungi persaingan dalam pasaran dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang efektif.
"Selain itu, MyCC akan diberi kuasa untuk menilai penggabungan yang akan mengurangkan atau mengganggu persaingan dalam pasaran dengan ketara. Kami berharap pindaan ini dapat diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak mempunyai rejim kawalan penggabungan.
Menurut kenyataan itu proses pindaan dijalankan bagi menjadikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa untuk MyCC melaksanakan mandat dengan lebih berkesan bagi menggalakkan serta melindungi proses persaingan dalam pasaran.Pindaan Akta Persaingan 2010 ini termasuklah pindaan peruntukan berkaitan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta peruntukan rayuan, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi digital dan pengenalan rejim kawalan penggabungan.
Salinan pindaan berkenaan boleh diakses di laman web MyCC, https://www.mycc.gov.my/public-consultation dan portal Malaysia Productivity Corporation’s Unified Public Consultation (UPC) bermula 25 April.
Sebarang input dan maklum balas boleh dikemukakan melalui e-mel kepada suruhanjaya itu di amendment@mycc.gov.my atau melalui portal UPC sebelum 27 Mei.
MyCC juga akan mengadakan dua sesi rundingan secara fizikal bagi tujuan sama, dijangka pada Jun. - Bernama