PORT DICKSON - Seorang lelaki berusia 28 tahun selepas disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berkenaan ditahan semasa pihak polis melakukan Op Penguatkuasaan Trafik di 'snap check' di Kilometer 2.5 Jalan Bypass Port Dickson,pada jam 10.10 pagi.
"Dia menunggang motosikal jenis Demak Evo Z dalam keadaan mencurigakan dari arah Lukut menghala ke Port Dickson dan diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
"Ketika polis membuat soal tanya ringkas, kami terkesan sesuatu bau dipercayai bau alkohol sebelum di bawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson untuk menjalani ujian saringan pernafasan.
"Hasil ujian saringan nafas menggunakan Lion Alcolmeter SD-2+ yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan mendapati sebanyak 400 miligram (mg) alkohol/100 ml darah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aidi Sham berkata, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat Lion Alcolmeter EBA-11 terhadapnya juga menunjukkan bacaan ujian saringan sebanyak 226 mg alkohol/ 100 ml darah.
"Lelaki berkenaan ditahan kerana kesalahan menunggang kenderaan bawah pengaruh alkohol iaitu melebihi paras kepekatan dibenarkan d ibawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Pada musim perayaan ini, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pemandu atau penunggang mabuk kerana perbuatan ini melibatkan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.