MERSING - Tindakan seorang lelaki menjadi ejen penghantar mercun ketika musim perayaan Aidilfitri membawa padah apabila dia ditahan bersama sejumlah barangan terlarang itu pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek warga tempatan berusia 21 tahun itu ditahan dalam satu rondaan cegah jenayah kira-kira jam 12.15 tengah hari di Kampung Paya Tinggal berhampiran laut Kem Sekakap di sini.
"Bertindak hasil maklumat awam, pasukan anggota PPMW2 telah berjaya menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut dalam kereta itu kemudiannya menemui sejumlah mercun dan bunga api yang tidak mempunyai dokumen sah yang disembunyikan di bahagian but kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Muhd Zailani, hasil penemuan itu, suspek yang juga pemilik kenderaan berkenaan telah membuat pengakuan awal bahawa mercun dan bunga api tersebut adalah miliknya.
"Mercun dan bunga api itu untuk dihantar kepada pembeli yang menempahnya menerusi menerusi WhatApps.
"Suspek juga dipercayai telah menjalankan kegiatan itu kira-kira sebulan lalu yang mana disyaki bagi kegunaan perayaan Aidilfitri ini.
"Kita juga percaya bekalan ini adalah untuk pasaran di kawasan kampung Felda sekitar Mersing dan Kluang,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mercun dirampas itu dianggarkan bernilai RM2,000.
"Barangan larangan itu dibawa ke Pengkalan Polis Marin (PPM) Mersing untuk tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.