KUALA LUMPUR - Program World #QuranHour merupakan titik tolak bagi membina rasa cinta terhadap al- Quran dalam kalangan masyarakat Islam seluruh dunia
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, ramai kalangan umat Islam masa kini tidak menjadikan kalam suci itu sebagai panduan dalam kehidupan.
"World #QuranHour bukan semata-mata sebuah program keagamaan tetapi sebuah gerakan dan kempen berskala besar yang mengajak umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
"Kita mahu wujudkan gelombang yang terdiri daripada umat Islam seluruh dunia (untuk) berhimpun dalam satu masa, satu jam dan meraikan al-Quran sekali gus menjadi momentum solidariti untuk tingkatkan bacaan, kefahaman dan amalan," katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.
Mengulas lanjut Hussamuddin berkata, penganjuran program tersebut turut membuka ruang kepada umat Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai pembentuk karakter, cara fikir serta amalan dalam kehidupan seharian.
"Misi kita adalah untuk 'mengqurankan' bangsa yang apabila ada al-Quran dalam hati, jiwa dan minda, kita dapat lihat perubahan besar (berlaku) kerana banyak ajaran dalam kalam suci itu sudah 'unlocked'.
"Justeru program yang dilakukan setiap tahun sejak 2015 ini bukan hanya kejayaan terhadap program, tetapi bagaimana mempertingkatkan mutu Islam," ujarnya.
Dalam pada itu Hussamuddin turut menjelaskan, pemilihan tarikh program pada 24 Ramadan bertujuan untuk mengimarahkan suasana 10 hari terakhir bulan mulia itu.
Katanya, sepanjang 10 hari itu merupakan kemuncak perjuangan ibadah bagi setiap umat Islam yang mengharapkan keredaan ALLAH atas setiap amal dilakukan.
World #QuranHour yang berlangsung di Studio TV Alhijrah turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menyertai bacaan surah Al-Sajdah.