PUTRAJAYA - Bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong yang menghadapi pertuduhan membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M. Gunalan dalam keputusan sebulat suara, membenarkan Etiqah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga memerintahkannya menyerahkan pasport kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan melapor diri di Balai Polis Penampang pada hari Isnin setiap minggu.
Peguam Etiqah, Datuk Seri K Rakhbir Singh memberitahu pemberita bahawa Hakim Swee Seng yang menyampaikan keputusan, memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan ikat jamin Etiqah dan mahkamah berpuas hati terdapat keadaan khas untuk memberikan ikat jamin.
Wanita berusia 34 tahun itu yang juga jurutera Petronas didakwa bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @Unos, 41, seorang kontraktor, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Disember tahun lepas kerana membunuh pembantu rumah mereka.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Etiqah dan Mohammad Ambree.
Pasangan itu didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 dan 13 Disember tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya hari ini, Rakhbir Singh memohon anak guamnya (Etiqah) dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dengan mengatakan bahawa Etiqah sakit dan mempunyai anak kembar yang kedua-duanya autistik.
Beliau memohon Etiqah diberi ikat jamin di bawah Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit yang dituduh melakukan kesalahan itu dibebaskan dengan ikat jamin.
Rakhbir Singh berkata, sebelum ini Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan anak guamnya.
Menurut Rakhbir Singh kes itu masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan. - Bernama