Mercun, bunga api RM4.17 juta dilupuskan

Iklan
Polis dengan bantuan bomba melupuskan mercun dan bunga api bernilai RM4.17 juta pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Pelbagai jenis mercun dan bunga api terlarang bernilai RM4.17 juta yang diseludup masuk ke dalam negara untuk pasaran pada Aidilfitri dilupuskan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebanyak 1,094 kotak dan guni mercun serta bunga api itu merupakan rampasan yang dibuat Cawangan Perisikan Siasatan Khas Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan D9 Bukit Aman pada 24 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai lima lelaki tempatan termasuk seorang dalang penyeludupan telah ditahan.

"Dalang berusia 51 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987 di mahkamah pada 29 Mac dan telah mengaku salah.

Iklan

"Setelah tempoh masa rayuan 14 hari dari tarikh jatuh hukum, permohonan pelupusan telah dipohon pada 18 April dan diluluskan oleh Mahkamah Majistret 2 Mahkamah Kuala Lumpur," katanya ketika sidang akhbar di stor barang kes di sini pada Selasa.

Polis dengan bantuan bomba melupuskan mercun dan bunga api bernili RM4.17 juta pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis mendapati kegiatan penyeludupan mercun itu dilakukan sebelum musim perayaan.

Iklan

"Mercun dan bunga api ini kemudian disimpan di premis perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dijual untuk pasaran tempatan," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan bersama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penjualan mercun dan bunga api boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206," ujarnya.