Tol percuma: PLUS jangka lonjakan trafik, komited bantu pengguna

Iklan
PLUS akan menugaskan 1,500 pembantu khidmat pelanggan di plaza dan lorong tol di lebuh raya berkenaan sepanjang cuti perayaan Aidilfitri. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebahagian besar daripada pengguna lebuhraya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Syarikat itu menjangkakan sebahagian besar pengguna lebuh raya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma berkenaan dan menyusun jadual perjalanan balik kampung dan kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh tol percuma tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.

"Pihak PLUS akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk lebuh raya yang menggunakan sistem tol tertutup seperti lebuh raya antara bandar, tol percuma dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

"Bagi pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

Iklan

"Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan RFID juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka," katanya,” katanya.

Pada Isnin, Tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam Ahad ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Sementara itu, Azman berkata, pengguna juga dinasihatkan supaya memeriksa status kad Touch ‘n Go sebelum perjalanan bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang seterusnya mengakibatkan kesesakan.

"Kami mengambil peluang ini untuk menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada empat hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.