Wajah-wajah terharu dan ceria jelas terpamer, menandakan rasa syukur mereka menerima sumbangan sebagai persediaan menjelang Aidilfitri.
Suasana itu mewarnai tiga lokasi pemberian sumbangan di Jempol, Negeri Sembilan iaitu di Pusat Tahfiz Ibnu Sharif, Jeram Panjang; Dewan D’Zahra, Batu Kikir dan Dewan Felda Jaya Selatan, Felda Raja Alias.
Program itu merupakan aktiviti khidmat sosial dan kemasyarakatan RISDA di bawah agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) RISDA yang bertujuan menyediakan dana bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
Secara keseluruhan sumbangan dan bantuan yang diperuntukkan dalam program itu melibatkan sebanyak RM19,350 kepada imam masjid dan RM184,500 kepada golongan asnaf.
Beliau ditemui Sinar Harian selepas Program Rahmat Ramadhan 2022 di Dewan Feldajaya Raja Alias, Bandar Baru Serting di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda prihatin RISDA kepada golongan memerlukan.
"Dua tahun kita tidak dapat beraya kerana Covid-19 dan pastinya kemeriahan menyambut Syawal kali ini lebih terserlah. Diharapkan sumbangan kecil ini dapat memberi keceriaan kepada penerima," ujarnya.
Bagi Rahman Yaakop, 71, pula, sumbangan wang tunai diterima akan digunakan untuk menghadiahkan duit raya kepada cucu-cucunya tahun ini.
"Terima kasih kepada RISDA atas sumbangan diberi dan ia menunjukkan keprihatinan pemimpin terhadap golongan memerlukan.
"Dengan duit diterima ini bolehlah saya 'menyantuni' cucu-cucu saya nanti memandangkan sudah dua tahun kita tak dapat beraya seperti biasa," katanya.