SHAH ALAM - Pengurusan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur pada Selasa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya kegiatan pemerdagangan bayi di rumah perlindungan terbabit.
Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda dalam kenyataan berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa demi menangkis dakwaan itu.
"Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak tertentu yang mengganggu keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda,” maklum kenyataan itu pada Selasa.
Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda mendakwa, maklumat sulit itu didedahkan dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat oleh individu-individu tertentu di media sosial.
"Kita percaya maklumat sulit itu telah didedahkan secara tidak bertanggungjawab oleh seorang individu yang merupakan bekas kakitangan rumah perlindungan Rumah Bonda.
"Pertubuhan Rumah Bonda dengan ini menegaskan pada bila-bila masa pertubuhan tidak mengizinkan rekod sulit bekas penghuni disalah guna dan disebarkan sedemikian rupa," tegasnya.
Katanya, perkara itu sudah dirujuk dengan pihak peguam dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.