Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, sampel debris tempat kebakaran telah dihantar ke makmal forensik kebakaran JBPM di Pulalu Pinang untuk dianalisis dan keputusan penuh masih belum diperolehi.
Menurutnya, sampel kebakaran pendingin hawa juga diambil dari lokasi kebakaran dan sedang dianalisis di bilik analisa forensik kebakaran JBPM Kedah.
"Berkenaan kejadian kebakaran yang berlaku di pusat karaoke beberapa hari yang lepas menyebabkan kematian tiga orang, siasatan yang kita dapati sebenarnya punca masih belum kita temui.
"Tetapi siasatan awal ada kemungkinan daripada segi kegagalan pendawaian elektrik kerana pusat karaoke biasanya dilengkapi dengan peralatan yang memerlukan penggunaan kadar elektrik yang banyak," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Sayani berkata demikian selepas Program Penyerahan Alat Pemadam Api dan Bubur Lambuk di hadapan Ibu Pejabat JBPM Negeri Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar.
Sebanyak 15 alat pemadam api dan 700 diagihkan kepada pengguna jalan raya bermula jam 4 petang dan tamat kira-kira lebih setengah jam kemudian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua ekor anjing forensik juga digunakan bagi mengesan bahan seperti petrol atau bahan lain di lokasi kebakaran namun tidak dijumpai.
Menurutnya, punca kematian mangsa dua lelaki dan seorang wanita dalam kejadian tersebut adalah disebabkan lemas terhidu asap kebakaran
"Mereka gagal meloloskan diri kerana faktor tempat yang sempit selain reka bentuk bangunan yang menyebabkan mereka sukar untuk meloloskan diri pada ketika itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Sayani berkata, pihaknya menempatkan sebuah jentera dan pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di Plaza Tol Gurun sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kebakaran atau kemalangan pada sambutan Aidilfitri minggu hadapan.
Menurutnya, anggota JBPM Kedah akan berada di lokasi tersebut bermula 27 April sehingga 8 Mei ini.