KUALA LUMPUR - Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang berjaga pada waktu malam dan bekerja di siang harinya, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Beliau berkata, kombinasi antara dua perkara itu penting untuk mencipta kekayaan agar dapat berbahagi rezeki bersama insan yang memerlukan.
"Itulah sebenarnya, kurangkan tidur dan banyakkan kerja-kerja siang (untuk) mencipta kekayaan supaya kita dapat berinfaq.
"Tidak boleh bayar zakat yang lebih jika tidak ada harta," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program World #QuranHour 2022 di Studio TV AlHijrah pada Selasa.
Menurutnya, masyarakat kini cenderung membincangkan soal pengagihan harta, tetapi kurang memberi fokus bagaimana mahu menjana pendapatan itu sendiri.
"Nak agih mudah tetapi nak bina kekayaan dan cipta ekonomi baharu dalam masyarakat, itu yang mencabar," ujarnya.
Mohd Daud berkata, umat Islam harus berusaha mengumpul kekayaan untuk mencipta kehidupan yang lebih baik di dunia mahupun di akhirat.
"Jadi, (jika) kita nak mencipta kekayaan, al-Quran selalu mengatakan lepas solat Jumaat keluar, jangan duduk di masjid, pergi cari rezeki dan meneroka.
"Itulah bahasa al-Quran, bukan bahasa akhirat, tetapi bahasa dunia. Al-Quran turun untuk bina kehidupan di dunia sebelum di akhirat.
"Kita nak wacana al-Quran supaya bina kehidupan di dunia dahulu sebelum di akhirat, ini misi yang kita mahukan," katanya.