PUTRAJAYA - Tindakan tegas telah diambil terhadap peniaga warga asing di sekitar Pasar Harian Selayang, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata, tindakan segera itu diambil bagi menjaga kepentingan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), khususnya yang berniaga di pasar berkenaan.
Iklan
Iklan
Katanya, keperluan dan aspek kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
"Pelbagai inisiatif baharu serta yang sedia ada terus diperkenalkan dan dilaksanakan kementerian bersama agensi-agensi di bawahnya terutamanya dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan serta miskin bandar di Wilayah Persekutuan, seperti mana Program Nur Ramadan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Bersama Media, di sini pada Selasa, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar. - Bernama