‘Sistem perparitan tidak diselenggara dengan betul’

Iklan
Keadaan banjir kilat di Lorong Maarof, Bukit Bandaraya.

BANJIR kilat di ibu kota bukan pertama kali berlaku. Setiap kali hujan lebat, beberapa kawasan di ibu kota terutama di Lorong Maarof, Bukit Bandaraya di sini pasti dilanda banjir kilat.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, ikuti laporan wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD YUSAINY MOHAMAD YUNUS menyelami luahan penduduk yang berharap banjir kilat di kawasan tersebut diatasi dengan segera.

Iklan
Iklan

Saban tahun, banjir kilat berlaku akibat limpahan air dari kolam takungan banjir di Lorong Maarof, Bukit Bandaraya di sini sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda awam seperti jalan raya dan tong sampah awam.

Bencana itu turut meninggalkan longgokan sampah akibat daripada banjir tersebut.

Iklan

Salah seorang penduduk, Adnan Ismail, 62, berkata, banjir kilat yang berlaku pada Isnin adalah yang paling teruk berbanding sebelum ini.

Adnan Ismail

Jelasnya, banjir yang berlaku sebelum ini tidak masuk ke kawasan pekarangan rumah.

Iklan

"Saya duduk sini sudah 35 tahun dan memang kalau hujan lebat teruk memang akan banjir tetapi sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi.

"Kalau sebelum ini air naik tetapi tidak sampai dalam rumah, tetapi semalam (Isnin) paling teruk melimpah.

"Ini disebabkan kolam takungan itu sudah penuh dan tidak mampu menampung jumlah air lagi disebabkan hujan yang lebat.

"Tidak sampai sejam sahaja, air sudah naik, mengalir dari atas (kolam takungan) sehingga kawasan perumahan bawah yang memang teruk lah kena banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, guru, Nurhida Affandi, 55, pula berkata, masalah banjir kilat yang semakin teruk berlaku di kawasan ini akibat daripada pertambahan pembangunan perumahan di kawasan tersebut.

Nurhida

Ujarnya, sistem perparitan yang tidak diselenggarakan dengan betul menyebabkan limpahan daripada kolam takungan itu tidak mampu menahan air dan menyebabkan banjir berlaku dengan cepat.

"Dekat sini banyak sangat pembangunan, sistem perparitan tidak betul menyebabkan banjir kilat berlaku teruk semalam (Isnin) sejak 26 tahun duduk di sini.

"Saya baru balik kerja, duduk dekat rumah sekitar jam 3 petang, hujan lebat sangat, dalam jam 4 air dah naik sampai depan rumah. Laju sangat air naik. Sampaikan pasu-pasu bunga yang plastik, tong sampah depan rumah, banjir itu tolak. Teruk lah banjir kilat kali ini,” katanya.

Selenggara

Pekerja swasta, Irfan Naufal Ridzuan, 26, pula berkata, pihak berwajib iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu selenggara selalu dan menilai keadaan di kolam takungan itu sekiranya hujan turun dengan lebatnya.

Irfan Naufal

"Banjir kali ini sebabkan longkang di sini kecil. Jadi nak menampung limpahan daripada kolam takungan itu tidak mampu. Semalam (Isnin) pun longkang dah tersumbat dengan ranting dan daun akibat banjir.

"PBT perlu besarkan longkang dan pantau secara berkala sistem perparitan di sini, sebab daun-daun dengan kayu di kawasan ini akibat pembangunan dan pembinaan di sini malah pernah menyebabkan berlakunya tanah runtuh kecil.

"Mereka (DBKL) perlu turun padang tinjauan tapak-tapak projek pembinaan ini sebab mereka ini yang menyumbang kepada siri banjir kilat yang berlaku di sini,” jelasnya.