SHAH ALAM - Kehadiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli pada Program World #QuranHour pada Selasa sudah pasti memberi impak yang sangat besar kepada program berkenaan yang membawa misi Surah Al-Sajdah pada tahun ini.
Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, 35 berkata, sokongan Raja Permaisuri Agong itu dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya dalam mendukung tiga perkara Surah Al-Sajdah.
"Kita sebagai rakyat melihat bagaimana pemerintah tertinggi ini melahirkan sokongan dan menzahirkan kesanggupan untuk sama-sama mendukung surah ini dan tema ‘Dunia Bersujud’.
"Saya pasti orang-orang yang hadir dalam menjayakan program pada hari ini khususnya akan dapat mengambil manfaat sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang telah digariskan iaitu yakin kepada ALLAH SWT, sujud kepada ALLAH SWT dan tidak sombong dalam kehidupan.
"Memandangkan ia sempena penganjuran tahun yang keenam, dari 2016 lagi maka, besarlah harapan saya sebagai salah seorang karyawan yang berada di Kumpulan Karangkraf ini agar ingin melihat gelombang al-Quran dan juga momen seperti ini akan sentiasa dilakukan pada tahun-tahun yang mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai membaca al-Quran untuk Program World #QuranHour di auditorium Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Amiro Safwan berkata, masyarakat perlu tadabbur surah-surah al-Quran dengan lebih mendalam supaya mereka dapat memikirkan bahawa al-Quran itu bukan sekadar membaca tetapi juga mendapat manfaat.
Menurutnya, Surah Al-Sajdah iaitu surah untuk misi tahun ini, mengajak manusia supaya tunduk, patuh, rukuk dan sujud kepada ALLAH SWT terhadap apa yang telah dialami sepanjang tahun ini.
"Saya merakamkan jutaan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf khususnya di bawah naungan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub kerana menggerakkan satu gelombang untuk menerbitkan kesedaran kepada masyarakat khususnya iaitu dengan menjadikan al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan.
"Mudah-mudahan ada sinar bahagia hari-hari yang mendatang dan dengan kita tunduk, sujud dan patuh kepada ALLAH SWT maka akan meraih kebaikan dan keberkatan yang banyak kepada kita,” ujarnya.