Pengurusan kewangan TH baik, tidak gagal agih keuntungan

Iklan
Syed Saleh (atas, kanan) pada program Wacana Sinar edisi ke-341 yang bersiaran secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM - Dakwaan sesetengah pihak yang menganggap pengurusan wang simpanan pendeposit Tabung Haji (TH) tidak diuruskan dengan baik adalah tidak benar.

Pengerusi Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini agensi itu tidak pernah gagal mengagihkan keuntungan hasil daripada pelaburan dan perniagaan kepada para pendeposit seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Apabila seseorang itu menyimpan wang di TH, niat mereka adalah untuk melaksanakan ibadah haji dan sudah tentu mahukan simpanan yang selamat, dapat menyimpan sedikit demi sedikit dan akhirnya mempunyai cukup wang untuk tunaikan ibadah berkenaan.

"Nak kata adakah TH tidak menguruskan (wang simpanan pendeposit) dengan baik, saya lihat belum pernah agensi ini gagal dalam memberi sebarang agihan keuntungan atau dahulunya dipanggil sebagai hibah.

Iklan

"Justeru saya rasa agak kurang tepat apabila ada yang mengatakan TH gagal dalam menguruskan kewangan kerana pendeposit yang mengeluarkan simpanan, mereka dapat duit itu dan tidak perlu tunggu sehingga dua bulan untuk dapatkan duit simpanan,” katanya pada program Wacana Sinar edisi ke-341 bertajuk ‘Kos haji meningkat, masih ada subsidi?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K C Ahmmu manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Iklan
Syed Saleh

Mengulas lanjut Syed Saleh menjelaskan, TH telah melaksanakan pengurusan kewangan dan pelaburan perniagaannya dengan baik dan dibuktikan dengan pengagihan keuntungan yang konsisten setiap tahun.

Malah katanya, terdapat juga pendeposit yang masih kekal menyimpan dengan TH selepas menunaikan haji hanya untuk mendapat pulangan berikutan agensi itu membayar zakat bagi pihak pendeposit dan simpanannya.

"Namun jangan kita lupa bahawa sumber hasil keuntungan daripada pelaburan dan perniagaan TH sebahagiannya telah disalurkan kepada bantuan kewangan haji.

"Pada tahun lalu bantuan kewangan haji mencecah sehingga RM400 juta, justeru kita kena fikir dari segi model, TH ditubuhkan oleh kerana (ibadah) haji dan telah menyalurkan bantuan kewangan menerusi 123 cawangan (TH) yang turut melibatkan kos.

"Dalam masa sama TH turut buat pelaburan dan sudah ada pelbagai panel dan comity yang melihat kepada tadbir urus dan sebagainya,” ujarnya.