KOTA KINABALU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bakal melancarkan parti itu secara rasmi di Sabah pada 22 Mei ini.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, sambutan daripada rakyat Sabah ketika ini sangat menggalakkan dan dijangka dengan pelancarannya akan meningkatkan lagi sokongan kepada Pejuang.
"Insya-ALLAH pada 22 Mei ini iaitu selang sebulan dari sekarang kita akan kembali ke Kota Kinabalu untuk menyaksikan Pejuang secara rasmi dan saya boleh jangkakan bahawa ini satu majlis yang meriah.
"Saya harap daripada situ pengenalan Pejuang akan mula meningkat di kalangan rakyat Sabah bukan hanya dengan kehadiran kami sahaja, tetapi juga mengenai apa sebenarnya yang sudah dibuat oleh Pejuang sekiranya diberi keyakinan oleh rakyat Sabah," katanya ketika sidang akhbar sebelum majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Pejuang Sabah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester dan Timbalannya, Ben Jifkin.
Beliau berkata, Sabah adalah negeri ketiga yang mendapat keahlian tertinggi selain Kedah dan Selangor.
"Kehadiran saya hari ini adalah untuk berkenalan dengan pucuk pimpinan Pejuang di Sabah dan saya lihat bahawa sambutan di kalangan rakyat negeri ini terhadap Pejuang sangat menggalakkan dan meriah.
"Untuk makluman dalam banyak negeri Pejuang tertubuh, Sabah merupakan negeri ketiga terbesar dari segi keahlian dan daripada 25 kawasan Parlimen, kita mempunyai ahli di semua kawasan dan telah menubuhkan 16 jawatankuasa daripada 25 kawasan Parlimen," katanya.
Ditanya mengenai hasrat Pejuang untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mukhriz berkata, pihaknya setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi yang akan ditandingi nanti.
"Insya-ALLAH, saya rasa kita akan menyertai PRU termasuk di Sabah ini, tetapi kita belum membuat keputusan berkaitan dengan jumlah kerusi, di mana kita nak bertanding dan sebagainya.
"Bagaimanapun, kita bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan menilai tahap kekuatan yang ada di Sabah ini supaya kita membuat keputusan yang tepat menjelang PRU nanti," katanya.