PONTIAN- Dua buah kilang yang tidak beroperasi di Jalan Johor Bahru- Pontian menjadi sasaran geng pecah kilang melakukan kegiatan curi bagi mendapatkan barangan berharga seperti komputer yang kemudiannya akan dijual di pasaran dengan harga serendah RM80.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Azri Noraini berkata kegiatan geng pecah kilang itu terbongkar selepas tiga lelaki lingkungan 27 hingga 32 tahun yang terlibat dengan kegiatan itu ditangkap menerusi Op Pintu pada 18 Mac lalu.
Katanya, barang-barang yang masih ditinggalkan di kilang berkenaan tanpa pengawal keselamatan menarik perhatian geng pecah kilang.
"Kilang pembuatan dan kejuruteraan ini dipercayai sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.
"Antara barang yang dicuri ialah monitor komputer pelbagai jenis, papan kekunci komputer, CPU komputer pelbagai jenama, sebuah patung naga berwarna hijau emas dan pelbagai peralatan pejabat,”katanya pada sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) Pontian, hari ini.
Tambahnya, tidak hanya menyasarkan kilang, geng berkenaan juga turut melakukan kegiatan pecah rumah di Jalan Johor Bahru- Pontian dan Kampung Rimba Terjun.
"Bagi kes pecah rumah, barang yang dicuri ialah dua unit televisyen dan satu beg sandang wanita,”katanya.
Jelasnya lagi, kesemua barang rampasan dari kegiatan pecah kilang dan pecah rumah dianggarkan berjumlah RM10,000.
"Ketiga-ketiga suspek adalah penagih dadah di mana salah seorang dari mereka mempunyai tiga rekod lampau kes curi.
"Kesemua suspek direman sejak 19 Mac lepas hingga hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya.
Terdahulu seramai 115 orang terdiri dari anggota polis, sukarelawan polis, kakitangan awam, pesara dan bekas anggota polis, Persatuan Keluarga Polis ( Perkep) dan orang awam menerima surat penghargaan.
Hadir sama Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd Tahir.
Majlis peringatan hari polis hari ini disambut dengan penuh bangga oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pontian dan ianya diadakan secara serentak di seluruh negara.