Nagaentran jalani hukuman gantung pagi ini

Iklan
Nagaentran menjalani hukuman mati di Penjara Changi pagi ini dan mayatnya akan dihantar pulang ke Ipoh pada Rabu. - Foto Agensi.

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam menjalani hukuman mati di Penjara Changi di sini pagi ini dan jasadnya akan dihantar pulang ke Ipoh pada Rabu.

Perkara itu telah disahkan adiknya, Navin Kumar kepada Bernama.

Iklan
Iklan

Ketika dihubungi, Navin masih berada di Penjara Changi untuk menuntut jasad abangnya.

Nagaentran, 34, anak kedua daripada empat beradik.

Iklan

Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

Iklan

Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang; Judith Prakash dan Belinda Ang.

Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Pada 7 November 2021, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Sementara itu, pada 3 Disember, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya. - Bernama