SIPITANG - Bagi memastikan anak yang mengalami masalah pembelajaran menerima pendidikan sama seperti kanak-kanak lain, seorang ibu sanggup menempuh perjalanan lebih dua jam menghantar anaknya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sipitang.
Aslimi Mudain, 42, dan anaknya, Mohd Daniel Abdullah, 8, yang juga orang kurang upaya (OKU), akan menempuh perjalanan lebih 40 kilometer dari Kampung Ulu Kuala Mengalong, Sindumin, ke PDK di Sabah Forest Industry dengan motosikal.
Menurut Aslimi, anak bongsunya itu perlu dimasukkan ke PDK selepas mengalami masalah pembelajaran ketika berusia dua tahun dan tidak dapat bertutur dengan lancar selain lemah pembelajaran.
"Ketika berusia enam tahun dia dimasukkan ke PDK dan kini sudah boleh memberi isyarat serta mampu mengurus diri sendiri," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, baru-baru ini.
Sementara itu, Yusrizam Mohd Yusof, 42, terpaksa menempuh perjalanan selama setengah jam setiap hari untuk menghantar anaknya ke PDK Sipitang namun tidak pernah mengeluh supaya kanak-kanak itu mendapat pendidikan sewajarnya.
"Sejak saya masukkan ke PDK ini, banyak perubahan yang kami dapat lihat termasuk boleh berdikari dan menguruskan diri. Sebelum ini dia diuruskan oleh isteri saya dan masih ada anak-anak lain turut memerlukan perhatian.
"Kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke sini supaya dia dapat belajar banyak perkara di sini," katanya yang menetap di Kampung Lubok Weston, Beaufort.
Sementara itu, Yusof ketika ditemui pemberita menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantarnya ke PDK untuk mendapat didikan yang sewajarnya.
"Ibu bapa yang ada anak OKU, jangan 'simpan' di rumah, saya tahu ada yang jauh, susah untuk hantar anak ke PDK tetapi ini cabarannya dan mereka juga ada hak untuk mendapat pendidikan," katanya.