ISKANDAR PUTERI - Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik sebagai wakil kerajaan di kawasan pembangkang di negeri ini masih bersifat sementara dan belum dimuktamadkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lantikan yang dibuat buat sementara waktu ini adalah untuk memudahkan urusan di kawasan pembangkang terutama dalam aspek pengagihan bantuan.
"Daripada segi penyelaras DUN ini, ia adalah lantikan sementara khusus bagi (memudahkan) salur inisiatif kerajaan seperti bantuan beras ini.
"Saya masih perlu berjumpa dengan parti-parti komponen (dalam Barisan Nasional) untuk kita ada persefahaman di kawasan DUN pembangkang siapa yang mahu dilantik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Bantuan Kasih Bangsa Johor di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Sementara itu, Onn Hafiz memaklumkan, kerajaan negeri juga akan membuat pengumuman sebaik selesai lantikan secara rasmi penyelaras DUN yang telah dipilih.
"Sebaik ia dimuktamadkan, kita akan maklum kepada semua. Sebab perkara ini (pelantikan penyelaras DUN) perlu dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK). Jadi nama yang dikeluarkan itu sementara sahaja," katanya.
Sebelum ini, menerusi satu surat dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor bertarikh 26 April 2022 menyatakan beberapa nama telah mendapat persetujuan untuk dilantik sebagai penyelaras DUN berkuat kuasa pada tarikh sama.