KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan kenyataan pada Rabu bahawa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemunya supaya mencampuri urusan perbicaraan kes di mahkamah yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.
Menerusi satu kenyataan media, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, anak guamnya tidak berganjak bahawa kenyataan yang telah dinyatakan sebelum ini adalah benar.
"Bagi memelihara hak beliau (Dr Mahathir), tuntutan balas akan difailkan di mahkamah kelak, jika perlu,” katanya.
Untuk rekod, pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam sidang medianya, mengakui pernah didatangi Presiden UMNO, (Ahmad Zahid) yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.
Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu telah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi saman fitnah melibatkan Presiden UMNO itu dan Dr Mahathir.
Dr Mahathir selaku defendan telah melantik Tetuan Haidir & Co, sebagai peguam yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kes berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan pendengaran kes ini berkaitan permohonan Interim Injunksi pada 17 Jun depan.
Pada Rabu minggu lalu, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung isu mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.
Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Dr Mahathir, 97, sebagai defendan tunggal manakala notis tuntutan dihantar pada 25 April.