Ketua jabatan bertanggungjawab tutup peluang rasuah, salah laku

Iklan
Mohd Shafiq. Foto Bernama

PUTRAJAYA- Semua ketua jabatan perlu menyediakan mekanisme kawalan bagi menutup peluang dan ruang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, mekanisme tersebut meliputi pendigitalan proses kerja, semakan semula ke atas pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Penambahbaikan ini adalah untuk memastikan segala tatacara pengurusan kewangan, projek dan perolehan kerajaan dipatuhi sepenuhnya, tanpa sebarang kompromi," katanya.

Tegasnya, sebarang kegagalan di pihak ketua jabatan untuk memastikan pematuhan peraturan akan disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya selaras dengan Peraturan 3C P.U.(A) 395/1993 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Iklan

"Pada masa sama, bagi memastikan perkhidmatan awam bebas rasuah, kefahaman dan penglibatan masyarakat berkaitan amalan serta perlakuan rasuah amatlah dituntut dan pelaporan segera kepada agensi berkaitan hendaklah dijadikan budaya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan media bertajuk Penjawat Awam Minta Habuan RM100,000 Ditahan yang disiarkan dalam akhbar tempatan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, JPA memandang serius isu pegawai awam yang terlibat dengan gejala rasuah dan apa-apa jua bentuk kesalahan jenayah.

"Sekiranya pegawai awam didapati bersalah oleh mahkamah, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.

Mohd Shafiq berkata, setiap individu hendaklah memainkan peranan untuk mencegah gejala rasuah dengan menghayati dan menterjemahkan nilai integriti dalam melaksanakan tugasan harian.

"Usaha berterusan ini hendaklah dilaksanakan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan negara ini khususnya perkhidmatan awam Malaysia bebas rasuah," katanya.