PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila seseorang memasuki premis atau tempat-tempat awam bermula 1 Mei ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bagaimanapun, orang ramai diminta supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
"Individu dengan status berisiko tinggi pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis," katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya.
"Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO," katanya.
Beliau berkata, sejajar dengan fasa peralihan ke endemik, MySejahtera sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.
"Sebagai permulaan, fungsi yang sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak, penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi," katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, kawasan itu akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.
"Saya minta rakyat Malaysia ambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara-mara atau pergi bercuti," katanya.
Ujarnya, ia merupakan langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbid.
"Saya juga menggalakkan persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing-masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan," katanya.