Najib tidak disoal tujuan pemberian cek RM9.5 juta kepada Shafee

Iklan
Najib. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu bahawa beliau tidak menyoal Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tujuan pemberian dua keping cek bernilai RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Mohamad Farid Jabar, 37, berkata, beliau juga tidak berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu bagi mengesahkan mengenai pemberian dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang dikeluarkan Najib sendiri ke atas nama tertuduh (Muhammad Shafee) pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, 70, pada perbicaraan kes peguam veteran itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz sama ada saksi memperoleh apa-apa invois berhubung pembayaran RM9.5 juta itu, Mohamad Farid menjawab"Tiada”.

Iklan

Pada prosiding lepas, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat nasihat guaman yang diberikan tertuduh kepada Najib, parti dan perdana menteri sebelum ini kerana beliau telah memberikan khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional atau UMNO untuk 46 fail petisyen pilihan raya dari 2004 dan 2006.

Pada prosiding pada Rabu, Mohamad Farid berkata, beliau tidak pernah bertanya atau mengeluarkan notis kepada Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan invois berhubung pembayaran RM9.5 juta itu.

Iklan

Mohamad Farid, saksi pendakwaan terakhir turut mengaku bahawa beliau tidak melakukan sebarang penyiasatan ke atas fail-fail guaman di tetuan berkenaan serta tidak mengambil sebarang keterangan dari mana-mana anak guam Muhammad Shafee.

Harvinderjit: Adakah kamu diberitahu bahawa cek bernilai RM9.5 juta yang dikeluarkan Najib kepada Muhammad Shafee adalah kerana tertuduh (Muhammad Shafee) bertindak sebagai TPR dalam kes rayuan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Saksi menjawab"Tidak”.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Muhammad Shafee menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai TPR dalam kes Anwar.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 12 Mei - Bernama