Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, lebih 1 juta kenderaan akan memasuki negeri ini untuk aktiviti kunjung mengunjung dan sebagainya.
"Selepas dua tahun tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini dijangka jumlah kenderaan yang akan masuk ke Pulau Pinang mencecah 1 juta buah manakala yang akan melalui Pulau Pinang untuk ke negeri utara iaitu Kedah dan Perlis adalah 3.6 juta," katanya selepas Program Jelajah Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bazar Ramadan Bayan Baru, di sini pada Rabu.
Sebelum itu, Mohd Shuhaily turut menyerahkan beg cenderahati kepada semua peniaga bazar ketika lawatan tersebut.
Mengulas mengenai Op Selamat ke-18 itu, Mohd Shuhaily berkata, ia akan diadakan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
"Lebih 1,000 anggota dan pegawai termasuk 360 orang dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang terlibat dalam Op Selamat ke-18 ini.
"Mereka ini akan bertugas dalam memastikan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut pada musim perayaan dapat dikurangkan selain memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang- undang secara total dan perkhidmatan kepada masyarakat dari aspek menguruskan kelancaran lalu lintas," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, anggota dan pegawai terlibat juga akan memastikan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat.
"Selain itu, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen bagi kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah.
"Dalam pada itu, kita juga akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar dalam operasi pada kali ini," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan selain berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Antara jalan-jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan kenderaan dan juga hot spot kes kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar - Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara), Jalan Perusahaan Perai - Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah) dan Jalan Besar Simpang Ampat (KM12 - KM32).
''Selain itu, antara jalan lain adalah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu - Jalan Ayer Itam (Timur Laut), Jalan Ayer Itam -Paya Terubong (Timur Laut) dan Jalan Tun Dr Awang (Barat Daya)," katanya.