PBSM fokus tema ‘Kita Semua Manusia’ tahun ini

Iklan

SHAH ALAM - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia akan memfokuskan tema ‘Kita Semua Manusia' tahun ini bagi mengingatkan orang ramai bahawa semua manusia sama, mengambil peduli antara satu sama lain serta memberikan semangat untuk kebaikan dan belas kasihan kepada orang lain.

Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah berkata, perbuatan kecil kebaikan boleh berpanjangan dengan cara memberi harapan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan di waktu susah dan ketidaktentuan.

Iklan
Iklan

"Kualiti mesra, bertimbang rasa, berperikemanusiaan dan simpati kepada manusia lain datangnya daripada dalam individu.

"(Ia) menjadi asas serta kekuatan daripada rangkaian besar responden Palang Merah dan Bulan Sabit Merah yang menyediakan penjagaan dan meluangkan masa mereka secara sukarela, menggunakan kemahiran dan kepakaran mereka bagi membolehkan komuniti lebih selamat, berdaya tahan dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pada 8 Mei setiap tahun, PBSM Malaysia bersama-sama Palang Merah Kebangsaan serta Bulan Sabit Merah di 192 negara seluruh dunia meraikan hari lahir pengasas institusi kemanusiaan berkenaan iaitu Sir Jean Henry Dunant yang dilahirkan pada tahun 1828.

Mengulas lanjut, Hakim berkata, acara tahunan pada kebiasaannya disambut dengan aktiviti yang menonjolkan peranan unik pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di negara masing-masing.

Iklan

"(Ia) melibatkan masyarakat sivil, masyarakat yang lebih luas, sukarelawan palang merah atau bulan sabit merah dan kakitangan,” katanya.

Jelasnya, pada tahun ini, PBSM Malaysia akan meraikan acara penting ini dengan pelbagai program dan aktiviti di seluruh negara.

Menurutnya, perbarisan dan majlis anugerah akan diadakan di ibu pejabat PBSM pada 8 Mei bagi memberi penghormatan kepada ahli dan sukarelawan yang telah bekerja tanpa jemu menyokong komuniti, membawa kelegaan dan sorakan di waktu sukar serta mencabar.