Bekalan cukup, harga terkawal di Kedah

Iklan
Wan Romani (kanan) ketika Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 di TF Value Mart Alor Setar, Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Bekalan barangan keperluan harian termasuklah ayam di Kedah diyakini mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat pada Syawal ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Wan Romani Wan Salim berkata, harga barangan tersebut di negeri ini juga didapati dalam keadaan terkawal.

Iklan
Iklan

Wan Romani memberitahu, sebagai contohnya, harga yang ditetapkan kerajaan bagi sekilogram ayam ketika ini adalah RM8.90 sekilogram.

"Insya-ALLAH ayam akan mencukupi sebab kita pun telah buat perjumpaan dengan pihak pemborong,yang mana walaupun ada kekangan tapi mereka beri keyakinan memastikan bekalan untuk perayaan Aidilfitri ini mencukupi.

Iklan

"Untuk harga kawalan, saya lihat tidak ada masalah sebab kita tengok harga ayam iaitu ditetapkan RM8.90 sekilogram dan ayam dijual di pasar raya ini juga tidak melebihi daripada harga ditetapkan," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 di TF Value Mart Alor Setar di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Zalina Aziz dan Pengurus TF Value Mart Alor Setar, Sallahuddin Mohd Nor.

Beliau turut memberi keyakinan bekalan barangan keperluan harian lain juga tidak terjejas dan sentiasa mencukupi untuk menghadapi perayaan tidak lama nanti, selain harga juga tidak melebihi harga ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, katanya, sebanyak 19 barangan ditetapkan dijual pada harga maksimum melalui SHMMP Hari Raya Puasa 2022 bermula 26 April hingga 6 Mei ini di Kedah.

Wan Romani memberitahu, ia membabitkan daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging kerbau import, ikan kembung,ikan selayang, tomato,cili merah, kobis bulat import, kacang panjang dan terung panjang.

"Antara lain, timun, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih, ubi kentang import, cili kering, kacang tanah, halia tua import, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja)," katanya.

Tambah beliau, dua jenis sayur-sayuran iaitu kacang panjang dan halia tua import dalam skim itu didapati dijual lebih rendah tahun ini berbanding tahun lepas.

Ujarnya, 11 jenis barangan termasuklah daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, tomato, timun dan bawang merah besar import juga tidak naik pada tahun ini.

Katanya, KPDNHEP juga melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam sejak 5 Februari lepas sehingga 5 Jun depan sebagai langkah menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

"Senarai harga barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam adalah seperti ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

"Bagi senarai telur adalah telur ayam gred A (berat antara 65 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55 gram hingga 59.9 gram sebiji)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat untuk membeli di premis yang menawarkan harga berpatutan ketika membuat persiapan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, peniaga pula diingatkan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati dan akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu.