SHAH ALAM- Kadar air empangan di negeri ini masih dalam keadaan baik iaitu sekitar 80 peratus.
Pelbagai langkah diambil dalam membantu untuk mengekalkan kapasiti air jika musim kemarau berpanjangan kelak.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan melalui agensi dan pelbagai kaedah yang dilaksanakan.
"Berdasarkan keadaan kapasiti air empangan negeri semasa dan sumber-sumber alternatif seperti kolam-kolam di Bestari Jaya dan Off River Storage (ORS) ini, bekalan air mentah di negeri ini dapat dipastikan untuk tiga bulan seterusnya sekiranya kadar hujan berkurangan.
"Dalam pengumuman Menteri Air Tanah dan Sumber Asli menyebut Selangor tidak berdepan risiko catuan air sebagaimana beberapa buah negeri yang diumumkan, namun kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan dalam menangani pelbagai isu melibatkan sumber air di luar jangka ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah disini.
Katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Air Selangor dan agensi terlibat telah menyusun beberapa langkah siap siaga bagi memastikan kelangsungan sumber bekalan air.
"Antaranya melaksanakan operasi pengepaman air kolam (Opak) di Bestari Jaya dengan keupayaan 1,000 juta liter sehari bagi meningkatkan kapasiti Sungai Selangor dan memaksimumkan pelepasan air empangan.
"Sebanyak 10 buah kolam sedia digunakan dan ini adalah bagi tujuan abstraksi muka sauk LPS Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3, masa sama empangan Sungai Selangor membekalkan lebih 60 peratus bekalan air ke negeri Selangor dan Lembah Kelang," katanya.