BAYAN BARU - Polis memburu seorang tahanan lelaki yang melarikan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, di sini pada tengah malam Selasa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tahanan yang terlibat dengan kes dadah tersebut dikenali sebagai Azizi Mohammad Hassan berusia 33 tahun.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan pada 20 April lalu dan disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut kira-kira jam 12 tengah malam.
"Lelaki terbabit ditahan dalam satu serbuan di Jelutong dan sedang menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
"Susulan kejadian itu, kita melancarkan operasi mengesan lelaki tersebut," katanya selepas Program Jelajah Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bazar Ramadan Bayan Baru, di sini pada Rabu.
Tambah beliau, enam anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di lokap berkenaan ketika kejadian ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian itu jika terdapat unsur kecuaian atau sebagainya.
"Keenam-enam anggota berusia lingkungan 20-an hingga 30-an tersebut kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily mengesahkan seorang tahanan Rohingya, yang dirempuh sebuah kereta ketika melintasi Lebuhraya Utara Selatan pada Rabu lalu selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara di Relau, Bandar Baharu, Kedah disahkan meninggal dunia.
Katanya, remaja perempuan berusia 14 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya pada pagi Selasa.
"Dengan kematian remaja itu, jumlah keseluruhan tahanan yang meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku pada jam 4.30 pagi itu adalah tujuh orang.
Seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 21 tahun masih dirawat di hospital sama.
Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan.
"Kita telah merekodkan keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung nahas itu,” katanya.
Dalam kejadian Rabu lalu, seramai 528 tahanan merusuh dan meloloskan diri dari depot tersebut kira-kira jam 4.30 pagi.
Enam tahanan yang melarikan diri itu termasuk dua kanak-kanak, turut maut selepas dirempuh kereta jenis Toyota Vios ketika mahu melintas jalan di KM 165 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kira-kira jam 6.50 pagi.
Susulan daripada kejadian itu, penduduk kampung setempat berjaya menahan semula 88 daripada mereka sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Mohd Shuhaily berkata, polis masih memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri, dengan dua tangkapan terbaharu dibuat di negeri ini pada Isnin.
Ditanya sama ada tahanan tersebut mungkin melarikan diri dari Pulau Pinang, beliau berkata, ia berkemungkinan besar kerana sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang sangat berhampiran.
"Apa yang saya bimbang, kemungkinan tahanan Rohingya telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.
"Ini kerana, sudah seminggu mereka melarikan diri dan mereka mungkin telah mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu mereka dapat bertahan daripada ditangkap,” katanya.