PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) mengumumkan pemberian insentif khas presiden kepada para atlet persatuan itu yang meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam pada bulan depan.
Malah menurut Presiden Masca, Datuk Michael Wong Meng San, insentif khas itu sebagai dos penggalak kepada para atlet untuk memberikan aksi terbaik pada temasya dwi tahun tersebut.
"Saya terpanggil untuk memberikan insentif khas secara terus daripada presiden sendiri kepada para atlet Masca yang meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 kali ini.
"Ia juga bagi menyahut komitmen diberikan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad yang menjanjikan insentif khas buat atlet yang berjaya menyumbangkan pingat emas secara terus di sana.
"Pemberian insentif ini adalah yang sama nilai dengan imbuhan kemenangan dari Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu RM20,000 dan akan digandakan sebanyak RM20,000 dari duit poket saya sebagai Presiden Masca.
"Saya percaya dengan pendekatan ini secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi para atlet dalam meraih pingat emas dan pada masa sama mengharumkan nama Masca dan Malaysia,” katanya.
Meng San berkata demikian selepas meraikan 34 atlet kanu negara dalam satu majlis berbuka puasa bersama Masca.
Sebelum ini, Nur Azmi media melaporkan menjanjikan insentif khas buat para atlet yang berjaya menyumbangkan pingat emas secara terus di Vietnam.
Untuk rekod, Masca di edisi Hanoi 2021 kali ini mempertaruhkan enam atlet terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang akan bertanding dalam acara ‘sprint’ dengan sasaran satu pingat perak pada temasya kali ini.
Pencapaian terbaik kem kanu negara adalah pada edisi Indonesia 2011 apabila meraih pingat gangsa menerusi dalam acara K2 (L) 200 meter menerusi Hamdan Mohamad dan Md Noh.