ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah tidak menolak kemungkinan sebahagian tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu mahir selok-belok kawasan dan membantu dalang rusuhan.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ia memandangkan 50 daripada 61 tahanan yang masih bebas didapati pernah bekerja lama dalam negara ini.
Beliau menjelaskan, jumlah tahanan yang masih bebas dan belum dikesan masih kekal dengan 61 orang setakat ini.
"Kita telah mencari mereka di kawasan hutan Bandar Baharu namun mereka dipercayai telah masuk ke kawasan lain memandangkan kebanyakan tangkapan diperoleh di kawasan Pulau Pinang.
"Hasil semakan mendapati 50 tahanan itu telah lama bekerja dan mengetahui selok-belok kawasan, manakala 11 lagi tahanan didapati baru sahaja ditangkap," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Kedah bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Rabu.
Katanya, pihak polis percaya ada tahanan yang memahami selok-belok dan tahu arah lokasi yang ingin dituju sehingga menyukarkan pengesanan.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak 50 tahanan tersebut turut membantu empat dalang utama melakukan rusuhan.
"Kalau lihat daripada cara mereka lari ke lebuh raya ke Seberang Perai Selatan dan bukannya Bandar Baharu (memang) nampak ada pengetahuan," katanya.
Wan Hassan menegaskan, pihak mereka akan berusaha sehabis baik dan tidak akan berundur hingga dapat mengesan semua tahanan tersebut.
Tambah beliau, usaha memburu saki-baki tahanan masih bebas terus berjalan melalui operasi membabitkan semua pihak termasuklah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, IPD Kulim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan IPK Pulau Pinang dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Cawangan Khas juga kini membantu mengesan, mendapatkan maklumat dan akan berusaha sebaik mungkin termasuklah menggunakan semua elemen," katanya.
Wan Hassan turut menyatakan pihaknya memerlukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bagi membantu menahan tahanan masih bebas.
Tegas Wan Hassan, orang awam diberi amaran tidak melindungi mereka kerana boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis giat memburu baki 69 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada Rabu minggu lalu.
Pada Rabu lepas, seramai kira-kira 700 tahanan dari Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.