MASALAH kesihatan dihadapi bekas jurulatih Kelantan FA, Hashim Mustapha terus mendapat perhatian dalam kalangan komuniti bola sepak, terbaharu legenda bola sepak Kelantan tersebut dikunjungi bekas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim di kediamannya di Kota Bharu.
Kunjungan ziarah itu turut disertai bekas pegawai media Kelantan FA, Mohd Zuki Deraman, bekas pemain The Red Warriors (TRW), Mohd Zairul Fitree Ishak, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Shahrizan Ismail.
Dalam kunjungan itu, Azman dan rombongan meluangkan masa hampir setengah jam bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan terkini bekas penyerang Kelantan tersebut.
"Hashim mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu kesan luka di bahagian kaki akibat terjatuh dari motosikal yang menjadi semakin serius.
Selain kesan lebam yang menjadi hitam tidak sembuh-sembuh, otot-otot kakinya juga didapati semakin susut tanpa diketahui sebabnya.
"Hashim memaklumkan dia menghidapi kencing manis dan risau penyakit ini akan menjadi semakin melarat.
Beliau terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan kini berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan,
"Saya berharap para penyokong dan peminat Kelantan FA untuk mendoakan Hashim supaya kembali pulih.
Mereka yang ingin menyumbang untuk Hashim boleh terus membuat sumbangan ke akaun bank milik beliau.
Sumbangan tersebut untuk menampung kos rawatan perubatan beliau,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Azman juga turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada Hashim untuk perbelanjaan perubatan bekas penyerang kebangsaan tersebut.
Kepada yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun CIMB 7050486203 atas nama Hashim Mustapha.